"Tolonglah Beri Sedikit Rasa Hormat" - Luahan Hati Nora Ariffin





SHAH ALAM: Penyanyi Nora Ariffin mengakui keputusannya untuk menyanyi lagu pilihan media iaitu All I Ask nyanyian asal Adele membuatkan dirinya berhadapan risiko besar untuk tersingkir.

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 43, bagaimanapun berkata, dia tekad menyahut cabaran itu bagi memuaskan hati semua pihak.

"Saya ambil keputusan untuk nyanyi lagu itu dua hari sebelum konsert ini, walaupun saya sedar ia adalah risiko yang besar kerana lagu itu sangat susah.

"Sejujurnya, selepas konflik ini berlaku saya beritahu produksi untuk bawa lagu pilihan media, tapi mereka tidak benarkan dan bila tekanan semakin hebat saya rasa seperti berada di persimpangan dilemma. Akhirnya saya putuskan untuk bawa kedua-dua lagu itu," ujarnya kepada mStar Online.

Nora ditemui selepas pada sidang media selepas konsert separuh akhir Gegar Vaganza 3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam Ahad.

Nora menyanyikan lagu Sandiwara dan All I Ask yang digabungkan bagi segmen solo, manakala duet bersama Aizat Amdan menerusi lagu Lagu Untuk Mu.

Kontroversi tercetus sebelum ini apabila pada peringkat suku akhir minggu lalu, Nora menolak untuk menyanyikan lagu All I Ask yang dipilih pihak media sebaliknya mahu menyanyikan lagu sendiri iaitu Sandiwara.

Dalam pada itu, Nora mengakui menerima kecaman teruk daripada netizen berhubung konflik pertukaran lagu itu sejak minggu Rockdut, apabila dia dikatakan menukar lagu dangdut yang diterimanya kepada lagu rock berjudul Bring Me To Life.

Malah katanya, sejak itu pelbagai tomahan dan fitnah yang dilemparkan sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan maruah sebagai seorang penyanyi dan isteri.

"Ramai netizen yang benci saya sejak isu tukar lagu dangdut lagi, saya sudah jelaskan ia bukan kehendak saya tetapi pihak produksi yang salah umum.

"Mereka mula buat tuduhan yang bukan-bukan kononnya saya ada skandal dengan orang Astro dan macam-macam lagi.

"Bukan saya sahaja, malah anak saya yang sedang mengambil peperiksaan di sekolah juga turut terkesan apabila pemeriksa bertanya kepadanya mengapa emak awak tukar lagu, kasihan dekat dia tidak fokus menjawab," ujarnya.

Lebih parah lagi, Nora berkata, perkara itu juga menjejaskan hubungannya dengan orang sekeliling dan rakan artis lain yang mula memberi persepsi negatif kepadanya.

"Ia benar-benar memberi kesan negatif, malah saya berjalan pun orang pandang, antara rakan artis pun bersikap lain terhadap saya dan ada juga menegur saya menzahirkan rasa simpati.

"Ada juga individu hantar mesej peribadi saya untuk meminta maaf kerana mengutuk saya di laman sosial. Apa semua ini?," soalnya.

Sementara itu, mengulas tentang isu berlagak diva, Nora berkata, sebagai artis berpengalaman lebih 20 tahun, dia perlu mendapat sedikit rasa hormat.

"Saya sudah lali dengan tuduhan ‘kekwat-kekwat’ (sombong), diva-diva ni, saya ni orang lama bukan budak-budak yang baru menyanyi, tolonglah beri sedikit rasa hormat.

"Macam juga wartawan, kita ada wartawan senior dan wartawan junior, tidak boleh di samakan, ada juga jurang-jurang itu," ujarnya.

Selain itu, bercakap tentang perancangan selepas program ini, katanya, dia akan berehat bagi meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak.

0 Response to ""Tolonglah Beri Sedikit Rasa Hormat" - Luahan Hati Nora Ariffin"

Post a Comment